
Pernahkah anda dengar mengenai intoleransi laktosa? Intoleransi laktosa merupakan keadaan bagi seseorang yang tidak dapat mencerna sepenuhnya laktosa atau gula di dalam susu. Jika anda seseorang yang mempunyai intoleransi laktosa, segelas susu sahaja mampu menyebabkan anda mengalami gangguan pencernaan atau gejala seperti kembung perut, sakit perut, muntah, dan cirit-birit. Keadaan ini dinamakan malbsorpsi laktosa dan tidaklah berbahaya, tetapi ianya menyebabkan anda berasa tidak selesa. Intoleransi laktosa juga adalah tidak sama dengan alahan terhadap susu.
Intoleransi laktosa berlaku apabila enzim laktase dalam usus kecil terlalu sedikit dihasilkan. Enzim laktase ini berfungsi untuk mencerna laktosa atau gula yang terdapat dalam susu dan produk tenusu. Laktase akan menukarkan laktose kepada dua gula ringkas yang diserap ke aliran darah melalui lapisan usus iaitu glukosa dan galaktosa. Kekurangan penghasilan laktase oleh usus mengakibatkan makanan tidak diproses dan diserap, tetapi bergerak ke kolon. Di dalam kolon pula, bakteria normal berinteraksi dengan laktosa yang tidak dicerna dan menyebabkan terjadinya gejala intoleransi laktosa.
Gejala bagi intoleransi laktosa biasanya dapat dirasai bermula daripada 30 minit hingga dua jam selepas anda mengambil susu atau bahan tenusu. Antara gejala yang biasa dirasai adalah cirit-birit, muntah, loya, kejang perut, dan kembung perut.
Bagaimana jika anda mempunyai intoleransi laktosa? Anda masih boleh minum atau makan produk tenusu dalam kuantiti yang kecil. Sesetengah produk tenusu yang mudah dihadam juga seperti keju keras dan yogurt boleh diambil. Tambahan pula, terdapat banyak produk tenusu tanpa laktosa boleh didapati di pasar raya. Pengganti laktase juga boleh didapati melalui doktor, dimana cara penggunaannya adalah dengan cara tambahkan titisan ke dalam susu.
Rujukan artikel:
https://www.webmd.com/digestive-disorders/digestive-diseases-lactose-intolerance
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lactose-intolerance/symptoms-causes/syc-20374232