
Sumber rajah: https://www.qoala.app/my/blog/kesihatan/penyakit/senggugut-teruk/
Senggugut merupakan perkara biasa terjadi dalam kitaran haid bagi golongan wanita yang masih datang haid. Senggugut atau boleh dipanggil dysmenorrhoea dalam bahasa Inggeris, adalah kesakitan yang biasanya dirasakan di bahagian bawah perut atau pelvis ketika anda datang haid. Kesakitan yang dialami disebabkan kekejangan otot yang boleh merebak ke belakang dan peha. Tahap kesakitannya juga berbeza setiap masa dan menyebabkan ketidakselesaan.
Terdapat dua jenis senggugut iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer merupakan senggugut yang paling kerap dialami oleh wanita. Puncanya disebabkan oleh terlalu banyak hormon prostaglandin yang dihasilkan oleh rahim. Bahan kimia ini menyebabkan otot rahim mengetat dan mengendur seterusnya terjadinya kekejangan. Biasanya rasa sakit senggugut boleh dirasai sehari atau dua hari sebelum haid, dan dapat dirasai dalam dua hingga ke tiga hari. Kesakitan akibat senggugut yang dialami akan semakin berkurang dengan meningkatnya usia anda berbanding semasa umur anda semasa muda. Selain itu, rasa sakit senggugut juga akan semakin berkurang selepas anda bersalin.
Senggugut sekunder pula berpunca daripada keadaan rahim atau organ pembiakan lain yang terjejas yang berkemungkinan disebabkan oleh endometriosis, fibroid rahim, cyst ovary, jangkitan pada rahim, alat pencegah kehamilan dan kongenital. Senggugut sekunder biasanya dialami oleh dalam kalangan yang berumur dan masih subur. Tanda-tanda senggugut sekunder seperti senggugut primer, namun sakitnya dalam tempoh berpanjangan dan boleh semakin teruk.
Bagaimana kita dapat merawat kesakitan disebabkan senggugut? Salah satu kaedah bagi mengurangkan sakit senggugut adalah mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol, mefanamic acid atau yang lebih kuat seperti ibuprofen dan naproxen. Penggunaan ubat tahan sakit NSAIDs bukan seperti naproxen dan ibuprofen bukan sahaja dapat mengurangkan sakit, malah ianya boleh mengurangkan jumlah prostaglandin dalam rahim. Selain itu, senggugut boleh dirawat dengan cara mandi menggunakan air suam dimana ianya boleh mengurangkan kesakitan dan menenangkan badan, tampalkan pad pemanas atau botol air panas pada bahagian bawah perut, mengurut bahagian bawah perut yang sakit, serta melakukan senaman. Rawatan bagi senggugut sekunder pula memerlukan doktor bagi rawatan selanjutnya.
Rujukan artikel:
http://www.myhealth.gov.my/senggugut/
https://www.nhs.uk/conditions/period-pain/
https://medlineplus.gov/periodpain.html